Thursday 4 August 2011

Sejarah Renang

SEJARAH RENANG DUNIA


Setelah manusia mengenalalam persekitarannya, manusia dapat belajar dengan banyaknya tentang erti kehidupan. Setelah kita mencerap pelbagai gelagat haiwan maka timbullah keinginan untuk kita meniru gelagat - gelagat haiwan itu. Di antara pelbagai gelagat haiwan itu ialah bergayut, melompat, berenang dan terbang. Justeru itu, manusia akan mencari daya usaha untuk mencubanya seperti mana ikan berenang di dalam air Pengkaji sejarah mendapat bukti bahawa manusia boleh berenang kira-kira 4,000 tahun yang lampau. Bukti-bukti itu terdapat dalam simbol hiroglif, seni arca purba orang Assyria, lagenda Yunani dan kitab Injil. 


Renang juga menjadi sebahagian daripada latihan tentera pada zaman dahulu terutama tentera Rom dan Yunani. Pada Zaman Kelam Eropah, sukan air termasuk renang dihentikan kerana boleh dikatakan kebanyakan penyakit menular melalui air. Kolam renang pertama dibuka di Liverpool, England pada tahun 1828. London pula merupakan kota pertama memperkenalkan sukan renang untuk dipertandingkan. Pada tahun 1837,kota London mempunyai enam buah kolam renang. Pada zaman silam, sukan renang dihargai sebagai satu pertandingan untuk daya tahan dan bukan sebagai satu perlumbaan kecepatan (races against time). Cabaran pada zaman itu ialah untuk menguji kebolehan dan daya tahan diri dengan berenang menyeberangi Selat Inggeris.


Pada tahun 1875, Captain Matthew Webb dari Shropshire, England menjadi orang pertama berenang di Selat Inggeris. Beliau berenang dari Dover, Englang ke Calais, Perancis dalam jangka masa 21 jam 45 minit. Pada tahun 1956, rekodnya dipecahkan oleh seorang Mesir,bernama Hassan Abdul Rahim yang berenang menyeberangi Selat Inggeris dalam jangka masa 10 jam 50 minit. Pada tahun 1844, dua orang asli Amerika Utara, bernama Flying Gull dan Tobacco dijemput untuk menyertai pertandingan renang di London. Mereka menggunakan gaya sendiri yang lebih kurang sama dengan gaya rangkak yang digunakan pada hari ini. Gaya renang Flying Gull dan Tobacco ini belum pernah digunakan oleh para perenang Eropah. Sebenarnya gaya renang mereka ini telah biasa digunakan oleh penduduk Amerika, Afrika Barat dan Kepulauan Pasifik sejak turun - temurun. Pada hari ini gaya renang itu disebut the crawl. Kemudian dari itu, perenang Frederick Cavill telah memperkenalkan renang gaya rangkak ini dari kota London ke benua Australia. Cavill memperbaiki gaya ini dan menamakannya the Australian Crawl. Pada 1902, anak Cavill, Richard pula menggunakan gaya the Australian Crawl ini untuk berenang 100 ela dalam jangka masa 58.6 saat. Seorang lagi anak Cavill, Sidney telah menunjuk ajar dan melatih para perenang di San Francisco, Amerika Syarikat dengan menggunakan teknik gaya ini. Salah seorang daripada anak didikannya, J. Scott Leary telah berjaya menjadi perenang pertama Amerika Utara yang melakukan renang 100 ela dalam jangka masa 60 saat. Gaya renang Cavill menjadi semakin popular. Seorang perenang bernama Charles Daniels memperbaiki lagi gaya Cavill ini. Dia menamakannya the American Crawl. Pada 1910, Charles Daniels, dengan menggunakan gaya the American Crawl berjaya mencipta rekod baru dengan berenang 100 ela dalam jangka masa 54.8 saat.


Gaya rangkak juga digunakan oleh penghuni Pulau Hawaii. Duke Kahananoku dari Hawaii menggunakan gaya ini untuk memenangi acara renang 100 meter di Sukan Olimpik pada tahun 1912 dan 1920. Johnny Weismuller dari Amerika Syarikat yang berumur 21 tahun memenangi acara renang 100 meter dalam jangka masa 59 saat pada Sukan Olimpik 1924. Weismuller mencipta rekod baru dalam 67 acara renang sebelum dia bersara daripada renang pertandingan untuk menjadi bintang filem. Dia berlakon sebagai Tarzan di Hollywood.


Pada 1986, hanya acara gaya bebas (free style) ditandingkan di Sukan Olimpik. Ini bermakna, para perenang dibenarkan menggunakan pelbagai gaya dan interpretasi untuk berenang. Pada tahun 1900, tiga acara renang ditetapkan, iaitu acara gaya kuak lentang (backstroke), acara gaya rangkak (the crawl) dan acara gaya kuak dada (breast-stroke). Pada tahun 1912, perenang wanita diberi peluang untuk bertanding dalam acara renang gaya bebas sahaja.


Kini, berbagai-bagai acara renang termasuklah acara gaya bebas, acara gaya kuak lentang, acara gaya kuak dada, acara gaya kuak kupu-kupu, acara gaya medley individu, acara gaya medley berganti-ganti, acara gaya bebas berganti-ganti, acara junam dan acara renang segerak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik dan juga sukan-sukan lain seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEA dan SUKMA.



SUKAN RENANG DI MALAYSIA
Pada awal abad dua puluh, ramai rakyat di Semenanjung Malaya menunjukkan minat dalam aktiviti-aktiviti sukan renang terancang (organised swimming activities). Oleh sebab minat rakyat terhadap renang terancang amat mendalam, maka beberapa buah kelab renang telah ditubuhkan tidak lama kemudian itu, dan di antaranya ialah Penang Swimming Club pada tahun 1903, Penang Chinese Swimming Club pada tahun 1928, European Swimming Club pada tahun-tahun 1930an di Ipoh, Taiping dan Kuala Lumpur dan juga Kinta Swimming Club di Ipoh pada1936.


Kelab-kelab renang ini sangat aktif. Taraf sukan renang dinaikkan pada tahun 1931 dengan pengelolaan the Malayan Chinese Olympiad. Sukan ini diteruskan setiap tahun hingga 1937, dengan penyertaan kelab-kelab renang dari Pulau Pinang, Perak, Johor dan Melaka. Selepas Perang Dunia Kedua, minat sukan renang giat dipulihkan. Banyak pertandingan renang dikelolakan di antara kelab-kelab renang orang Asia dari Singapura, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur. Pada tahun 1955, the Malayan Amateur Swimming Union ditubuhkan. Dengan pertubuhan persatuan ini, pertandingan antara kelab renang digantikan dengan pertandingan antara negeri.


Pada tahun 1956, Malaya buat kali pertama menyertai Sukan Olimpik di Melbourne, Australia. Malaya menyertai dalam lima jenis acara sukan,iaitu olahraga, angkat berat, renang, menembak dan hoki. Pada masa ini, persatuan renang di Malaysia dinamai Amateur Swimming Union, Malaysia (ASUM). Kini ASUM adalah ahli gabungan badan renang dunia, Federation Internationale de Nation Amateur (FINA). Mulai tahun 1956, Malaya ikut serta dalam beberapa pertandingan renang antarabangsa, termasuk Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEAP/SEA dan Kejohanan Asia.

2 comments: